Asid folik bantu janin
SAYA baru berkahwin pada November tahun lalu dan hingga kini belum ada tanda hamil. Saya tiada masalah dengan kitaran haid kerana ia normal iaitu antara 28 hingga 29 hari, manakala haid saya biasanya berakhir dalam tempoh tujuh hari.
Saya baru mencubanya selama sebulan. Setakat ini masih belum ada tanda hamil walaupun saya dan suami bersama pada waktu subur. Dalam keadaan ini, adakah hanya saya yang harus mengambil asid folik atau suami juga disarankan berbuat demikian?
SARAH,
Kuala Lumpur
ANDA tidak menyatakan usia anda. Lazimnya pasangan disarankan mengadakan hubungan kelamin sekerap dua hingga tiga kali seminggu, mengamalkan cara hidup sihat (pemakanan berkhasiat, bersenam, tidak merokok dan tidak mengambil minuman beralkohol) dan wanita juga dinasihatkan mengambil pil asid folik sebanyak sekurang-kurangnya 0.4 miligram setiap hari.
Ini kerana, dijangkakan 85 peratus pasangan berjaya hamil dengan sendirinya dalam masa setahun tanpa perlu mendapatkan rawatan kesuburan yang umumnya diketahui mahal. Bagaimanapun, sekiranya anda berusia 35 tahun ke atas ataupun jika anda mempunyai masalah sakit puan seperti senggugut, sakit ari-ari dan seumpamanya, tidak perlu menunggu lebih lama lagi kerana enam bulan saja sudah memadai.
Asid folik bukanlah diambil untuk meningkatkan kesuburan. Asid folik adalah sejenis vitamin B yang didapati menurunkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang janin atau bayi sehingga 80 peratus.
Wanita yang merancang untuk hamil disarankan memulakan pengambilan asid folik ini seawal sebulan sebelum ingin hamil manakala wanita yang pernah mengalami kecacatan bayi contohnya anencephaly atau spina bifida pula disarankan memulakan pengambilan asid folik ini seawal tiga bulan sebelum ingin hamil.
Keluar darah pekat jika bersama
SAYA sudah berkahwin selama tiga tahun. Setiap kali saya melakukan hubungan kelamin dengan suami, keluar darah pekat. Mengapa keadaan ini berlaku? Suami saya fikir saya didatangi haid, tetapi tidak.
ISTERI BINGUNG,
Shah Alam, Selangor.
BERKEMUNGKINAN terdapat masalah pada permukaan dinding faraj ataupun permukaan serviks (pintu rahim) sehinggakan geselan zakar padanya menyebabkan pendarahan.
Antara yang lebih kerap puncanya adalah polip yang muncul keluar melalui bukaan serviks. Dasar polip ini pula boleh berasal daripada endometrium (di dalam rahim) ataupun endoserviks (di dalam terowong pintu rahim).
Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor bahagian sakit puan. Pemeriksaan dalaman menggunakan alat spekulum dapat menunjukkan keadaan permukaan faraj dan serviks serta punca pendarahan itu.
Pada masa sama, ujian pap smear boleh dilakukan. Dalam keadaan kelainan misalnya polip, doktor boleh melakukan prosedur kecil untuk membuangnya. Dalam keadaan kelainan serviks yang mencurigakan contohnya ulser atau ketumbuhan, doktor mungkin akan mengambil sedikit contoh ketulan atau daging berulser terbabit untuk ujian makmal.
Sekiranya tidak kelihatan apa-apa punca pendarahan, berkemungkinan ia berasal dari dalam rahim dan doktor mungkin akan menggunakan kaedah ultrabunyi pelvis untuk menilai keadaan lapisan dalaman rahim sebelum melakukan ujian selanjutnya.
sumber: harian metro
8 comments:
em good2.thanks 4 sharing.
TQ sharing dikk
alhamdulillah dari x tahu dah tahu nie huhuhu
tqs dear... moga kita semua dikurniakan kesihatan yg baik..
tq for sharing :)
tq 4 sharing..slmt berpuasa kwahida :)
Assalamualaikum saya nk bertanya.
folic acid ialah pyediaan untuk hamil.Saya dah skip 1 bulan..Adakah saya kena truskn makan?
Assalamualaikum. Sy nak tanya, sy ida 27tahun.saya dah 5bulan berkahwin.period sy pn ok dan teratur sebelum ni. Sy baru juga start makan folic acid.dan sepatutnya mmg minggu lepas sy datang bulan..tapi dah lewat 3hari. Sy check guna pregnancy test pon negatif...ada effect ke saya makan acis folic ni menyebabkan period lambat?.
Ida,melaka.
hai...
saya daina,26tahun
seminggu lepas waktu subur,saya telah mengambil folic asid...beberapa hari kemudian sya check guna pregnancy test sebab lewat 2hari dri tarikh datang bulan(28/06/2019)...asal nya (+)...
Post a Comment